Van dinaiki masuk sawah, rempuh pokok
ALOR SETAR: Lima guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat persembahan silat di majlis kenduri kahwin di Sungai Buloh, Selangor terbunuh, manakala empat lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbabas ke dalam sawah sebelum merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris di Pendang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, van yang dipandu Rashidi Ahmad, 24, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok, menyebabkan tiga penumpang termasuk bapanya, Ahmad Ismail, 60, dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra di sini, mati di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa, Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, masing-masing meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, jam 8.15 pagi dan 11.15 pagi, semalam, manakala Che Ishak Hussin, 54, yang parah di kepala dan badan dilaporkan kritikal, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB.
Tiga lagi mangsa termasuk Rashidi, Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dan Ariffin Mahazun, 56, yang cedera ringan hanya dirawat sebagai pesakit luar.
Difahamkan, van membawa sembilan penumpang yang semuanya guru dan ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah itu, bertolak secara berkonvoi dari Sungai Buloh bersama sebuah kenderaan lain untuk pulang ke Kedah, jam 8.30 malam, kelmarin.
Rashidi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rela, Langgar di sini, berkata, kejadian berlaku ketika sembilan penumpang yang berada dalam van itu sedang nyenyak tidur.
Dia mendakwa ketika kejadian tidak mengantuk kerana sudah mendapatkan rehat secukupnya, termasuk berhenti di lima Hentian Rehat dan Rawat di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang perjalanan pulang berkenaan.
“Saya ternampak seekor lembu besar tiba-tiba melintas di hadapan dan terpaksa mengelak menyebabkan van berkenaan terbabas dan masuk ke dalam sawah sebelum merempuh pokok.
“Akibat rempuhan itu, saya tercampak keluar daripada van terbabit dan hanya sedar ketika berada dalam ambulans. Ketika itu, saya juga tidak mengetahui nasib penumpang lain termasuk bapa,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati pemandu van dipercayai mengantuk, tetapi punca kejadian masih disiasat.
“Mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing petang ini (semalam) dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Berita Harian
22 Mac 2011
Elak 'lembu besar'
ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.
Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.
ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.
Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian.
Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.
Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
REMUK...keadaan van selepas terbabit kemalangan.
Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.
“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam.
PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.
Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.
Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang.
Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.
“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.
“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.
Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.
Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.
“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.
“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.
myMetro
22 Mac 2011
Suami tersepit
ALOR SETAR: “Saya nampak suami tersepit, manakala anak saya tercampak di tepi jalan,” kata Rokiah Abdul Hamid, 53, isteri kepada Ahmad Ismail, 60, seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, dekat sini, awal pagi semalam.
Rokiah berkata, dia menaiki kereta berasingan, manakala suami dan anaknya, Rashidi, 24, menaiki van berkenaan ketika mereka dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor ke Kedah.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangka van dinaiki suami dan anaknya bersama lapan pesilat lain sudah sampai di rumah.
Bagaimanapun, katanya, sebaik melalui lokasi kejadian, penumpang dalam kereta dinaikinya memberitahu ternampak ada orang melambai tangan meminta tolong menyebabkan mereka berpatah balik.
“Apabila sampai di situ, saya nampak suami tersepit, manakala Rashidi pula tercampak di tepi jalan dan penumpang lain tidak sedarkan diri.
“Sebaik mendekati suami, saya dapati dia sudah tidak bernyawa, begitu juga dua penumpang lain,” katanya.
Rokiah berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan suami dalam masa yang singkat kerana suaminya seorang yang baik dan dikenali ramai kerana menjadi pengerusi persatuan silat itu sejak beberapa tahun lalu.
Jenazah Ahmad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Petani, dekat sini, petang semalam, manakala empat mangsa yang maut dituntut keluarga masing-masing selepas dibedah siasat di Jabatan Forensik HSB, semalam.
myMetro
22 Mac 2011
Pemandu van dipercayai mengantuk
ALOR SETAR: Siasatan polis mendapati pemandu van Ford Econovan yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, awal pagi semalam, dipercayai mengantuk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi, ketika dihubungi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, tetapi tidak menolak kemungkinan pemandu terbabit mengantuk.
“Kita masih menyiasat punca kejadian itu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, van berkenaan dipercayai dari arah Pendang menghala ke Langgar, di sini, terbabas dan melanggar sebatang pokok menyebabkan lima penumpang di dalam van itu terbunuh, manakala seorang parah dan bakinya cedera ringan.
Pubadi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Unit Kecemasan HSB, Dr Fatahul Laham Mohamad, berkata mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil.
myMetro
22 Mac 2011
‘Nampak kawan meraung’
ALOR SETAR: “Saya cuma dengar bunyi dentuman kuat dan nampak kawan-kawan yang lain meraung kesakitan. Selepas itu saya tidak sedar dan apabila tersedar saya sudah berada di hospital,” kata Mohd Idris Mohd Senapi, 20, antara yang terselamat dalam kemalangan maut mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Deris, Pendang, awal pagi semalam.
Mohd Idris yang juga pemain gendang Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah berkata, ketika kejadian, dia tidak sedar kerana tertidur.
“Kami bertolak dari Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 6 petang selepas selesai membuat persembahan pada majlis perkahwinan di rumah saudara seorang ahli persatuan ini. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kawasan rehat dan rawat Tapah, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) untuk berhenti makan.
“Selepas setengah jam berhenti rehat, kami meneruskan perjalanan balik ke Alor Setar. Saya terus tidur selepas itu kerana terlalu letih sehingga tidak menyedari kejadian berlaku,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima maut, seorang parah dan tiga lagi cedera ringan apabila van Ford Econavan dinaiki sembilan orang itu terbabas dan merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, semalam.
Mohd Idris berkata, dia cedera di muka dan patah kaki kanan kerana tersepit di belakang tempat duduk pemandu.
myMetro
22 Mac 2011
Kehilangan besar
ALOR SETAR: “Ia satu kehilangan besar buat persatuan ini,” kata Presiden Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, Haris Fadilah, 55, ketika mengulas insiden yang mengorbankan lima guru silat selepas van yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, pagi semalam.
Beliau berkata, pihaknya sedih dengan kejadian yang menimpa dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar dugaan Allah.
“Saya mewakili persatuan ini merasakan satu kehilangan besar buat persatuan ini kerana kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah guru silat.
“Mereka tokoh besar dan pengasas banyak menyumbang pada seni silat di negeri Kedah. Ada antara mereka lebih 40 tahun terbabit dalam kegiatan ini. Segala jasa dan pengorbanan mereka kami kenang sampai bila-bila,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
myMetro
22 Mac 2011
Teringin ke Kuala Lumpur
POKOK SENA: “Arwah teringin sangat nak pergi Kuala Lumpur kerana sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah ke sana. Mungkin ini adalah petanda arwah akan pergi meninggalkan kami semua,” kata Rugayah, 47, anak kepada Eshak Awang Kechik, 78, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam.
Beliau berkata, sehari sebelum mereka bertolak iaitu Khamis lalu, arwah bersungguh-sungguh ke ibu kota.
“Dia ada beritahu pada ibu tiri saya, Siah Shariff, 57, bahawa dia hendak sangat ke Kuala Lumpur. Kami adik beradik tak sangka ia permintaan terakhir arwah sebelum meninggalkan kami.
“Sebelum ini, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, malah dia kelihatan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, di sini, semalam.
Allahyarham Eshak antara dua penumpang van yang kritikal dan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSB apabila terbabit dalam kemalangan itu.
Selepas hampir enam jam bertarung nyawa di ICU, Eshak akhirnya menghembuskan nafas pada jam 11.30 pagi di HSB.
myMetro
22 Mac 2011
Tragedi ngeri pendekar utara
ANGGOTA polis melihat keadaan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, Alor Setar hingga mengorbankan lima guru silat semalam.
ALOR SETAR - Jumlah penonton yang luar biasa ketika menyaksikan persembahan lima guru silat di sebuah majlis perkahwinan di Sungai Buloh, Selangor kelmarin rupanya menjadi petanda kesemua pendekar itu akan dijemput ajal dalam kemalangan jalan raya semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku apabila sebuah van yang membawa sembilan penumpang termasuk guru silat berkenaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini. Empat penumpang lain cedera parah.
Difahamkan, kesemua mangsa daripada Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Kedah. Mereka dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.
Mereka yang maut ialah Ahmad Ismail, 65, (guru silat Melayu Pattani), dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, (guru silat Gayung Pattani) dari Kampung Paya, Kodiang, Jitra dan Jumaat @ Saad Mat Akil, 62, (guru silat Tari Segelek) dari Kampung Manggol, Malau, Jitra.
Kosmo
22 Mac 2011
Seorang lagi mangsa kemalangan Pendang meninggal dunia
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku apabila sebuah van yang membawa sembilan penumpang termasuk guru silat berkenaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini. Empat penumpang lain cedera parah.
Difahamkan, kesemua mangsa daripada Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Kedah. Mereka dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.
Mereka yang maut ialah Ahmad Ismail, 65, (guru silat Melayu Pattani), dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, (guru silat Gayung Pattani) dari Kampung Paya, Kodiang, Jitra dan Jumaat @ Saad Mat Akil, 62, (guru silat Tari Segelek) dari Kampung Manggol, Malau, Jitra.
Kosmo
22 Mac 2011
Seorang lagi mangsa kemalangan Pendang meninggal dunia
ALOR SETAR - Seorang lagi mangsa kemalangan di Pendang awal pagi, semalam, meninggal dunia hari ini, setelah hampir 24 jam di rawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, menjadikan enam mangsa maut akibat kemalangan itu.
Che Ishak Hussin, 55, dari Kampung Tualang, Pokok Sena meninggal dunia pada pukul 2 pagi di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan kerana mengalami pendarahan dalam otak dan patah kaki kanan.
"Semasa ayah meninggal awal pagi tadi, kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi,” kata anak sulung mangsa, Mohammad Zahir Che Ishak, 36, ketika ditemui di hospital itu hari ini.
Semalam, lima guru silat maut apabila van yang dinaiki sembilan orang terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang.
Kemalangan pada pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Buluh, Selangor selepas mengadakan persembahan silat pada majlis perkahwinan di sana. - Bernama
22 Mac 2011
‘Ayah tidak tunjuk kelakuan pelik, cuma sakit dada’
ALOR SETAR: “Arwah ayah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma sehari sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh, Selangor, dia ada mengadu sakit dada,” kata Mohammad Zahir, 36, anak sulung kepada Che Ishak Hussin, 55, yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada jam 2 pagi semalam.
Beliau berkata, arwah sudah lama membabitkan diri dalam persatuan Silat Rela Bakti Alor Rela, Langgar dan dia adalah pemain serunai dan gendang.
“Arwah seorang peramah dan dia suka bersembang dengan kawan dalam persatuan ini, terutama bagi memantapkan seni persembahan silat di Kedah.
“Saya sangat sedih dengan kehilangannya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semasa ayah meninggal awal pagi tadi (semalam), kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi.
“Arwah meninggal disebabkan masalah pendarahan dalam otak kerana arwah memang ada penyakit jantung. Sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh pun, dia ada mengadu sakit dada,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HSB, semalam.
Che Ishak yang berasal dari Kampung Tualang, Pokok Sena, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 pagi selepas bertarung nyawa hampir 24 jam.
myMetro
23 Mac 2011
Saya hilang 6 kawan baik
ALOR SETAR: “Saya kehilangan enam kawan baik sekali gus,” kata Johari Arifin, 54, yang masih bersedih dengan berita kematian lima guru silat termasuk seorang pemain serunai dan gendang dari Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, semalam.
Beliau berkata, dia terkejut kerana semua mangsa meninggal dunia kawan baiknya yang terbabit dalam aktiviti pertunjukan silat di negeri itu.
“Saya memang mengenali semua mangsa kerana sama-sama mengadakan persembahan di merata tempat,” katanya.
myMetro
23 Mac 2011
No comments:
Post a Comment