Cerita ini adalah satu cerita rakyat yang hampir dilupus dek terlalu banyak cerita yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ini.Diceritakan oleh orang dahulu bahawa di suatu kampung ada satu keluarga yang terdiri dari dua beradik lelaki tinggal bersama kedua ibubapanya. Setelah kedua beradik menjelang remaja maka mulalah mereka belajar silat dari sang bapa. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan begitulah seterusnya sehingga keduanya menjelang dewasa.Pantas dan cekaplah kedua-dua berpencak hasil asuhan bapanya.
Sampai masanya sang abang telah bermohon restu dari bapa dan ibu untuk berkelana mencari guru yang lebih hebat buat memenuhi ilmu kedada.Mendengar sang bapa merestui maka sang adik pun ingin juga turut serta berkelana sambil berguru menumpang cita-cita sang abang yang ingin menjadi pendekar terhebat. Tapi si ibu keberatan yang amat untuk melepaskan putera mudanya tambah lagi tentu kesunyian apabila kedua-dua tiada.
Maka kecewalah sang adik melihat sang abang melangkah pergi lalu menanam tekat untuk berlatih sendirian untuk mengubat kekecewaan hati. Setelah ditinggal sang abang segala kerja ditanggung oleh sang adik termasuklah menjaga kerbau. Sambil menjaga kerbau milik keluarganya dia pun terlintas dikepala untuk berlatih kekuatan lalu mulalah diangkatnya seekor anak kerbau jantan setiap hari. Menambahkan lagi latihannya dia mengambil buluh yang berlubang lalu disarungkan ke ekor ibu kerbau. Kemana bergerak ekor kerbau dia melompat mengikut arahnya dan menyarungkan ekor tersebut dengan buluh.Sang adik juga ada menanam anak labu di tepi halaman rumah dan disitu dia melompat setiap pagi melepasi pokok labu itu menjalar.
Begitulah amalan yang dilakukan oleh sang adik setiap hari sehingga musim beredar berganti tahun. Tiba harinya kembalilah sang abang dari perantauan dengan girangnya untuk bertemu keluarga tambahan pula sudah menjadi pendekar terbilang. Setelah melepaskan rindu maka sang adik pun mula bertanya tentang perguruan sang abang diperantauan. Maka berceritalah sang abang akan kehebatan ilmu yang dituntutnya sehingga menjadi pendekar terbilang.
Setelah sang abang bercerita, sang adik pun memohon untuk beradu kekuatan dengan sang abang. Diajak sang abang beradu melompat pokok labu yang menjalar sejauh dua belas depa dipinggir halaman rumah. Terkejut sang abang melihat kekuatan sang adik melompat. Kemudian diajak pula si adik supaya sang abang mengangkat kerbau jantan yang dijaganya.Maka sekali lagi sang abang gagal dan terkejut melihat adiknya menatang kerbau tersebut.
Akhir sekali sang abang pula yang mencabar si adik untuk bertarung bertikam keris. Sang adik pun menyambut cabaran untuk berpencak keris,dengan menggunakan sarung keris dia menyarungkan mata keris si abang setiap kali menikam. Setiap tikaman si abang disarungkan sehingga hairanlah dia melihat kepantasan adiknya. Demikianlah hasil latihan yang dijalani oleh sang adik sehingga kemudian harinya termashorlah sang adik dengan gelaran Pendekar Alam kerana dia memperolehi kepandaian hasil berguru dengan alam iaitu pokok labu , buluh dan kerbau.
No comments:
Post a Comment