Adalah telah diceritakan oleh orang-orang tua yang telah tiada suatu kisah keperwiraan seorang pendekar dari bumi Pahang yang berlaku pada semasa pemerintahan sultan Abdul Jalil. Telah sampai perintah dari Sultan yang bersemayam di Pekan itu ke Lipis meminta dihantar seorang pendekar ke negeri Kedah atas tawaran dari Sultannya untuk menghapuskan sekumpulan lanun yang bermaharajalela dilaut dikepalai oleh seorang bergelar Panglima Hujan Panas. Diceritakan apabila tampil Panglima ini menyerang maka ketika itu juga turun hujan renyai walau hari panas terik sebagai alamatnya.
Setelah bermesyuarat Orang-Orang Besar di Lipis demi memenuhi perintah Yang Mulia Sultan maka dipilihlah seorang pendekar untuk diutuskan ke Kedah bagi melaksanakan misi tersebut dan pendekar itu dipanggil Mat Guai.
Setelah selesai segala persiapan maka berjalanlah Mat Guai sehingga ke Kelang dan dari Kelang dia menumpang pula sebuah kapal dagang yang kebetulan ingin berdagang ke Kedah. Maka berlayarlah beliau menuju ke utara bersama kapal tersebut. Dari perbualan dengan anak-anak kapal dapatlah Mat Guai mengagak bahawa Kepala Lanun yang dicari memang selalu melanun di laut Kedah.
Setelah berhari-hari berlayar ketika hampir ke laut Kedah maka datanglah alamat kehadiran Panglima Hujan Panas. Kelihatan sebuah bajak yang dipenuhi sekumpulan lanun berkayuh menggunakan lembing mata lebar merapati kapal lalu berlompatan sekelian lanun merapati anak-anak kapal dan ketuanya serta memberikan dua pilihan , putih tulang atau putih mata. Maka sekelian anak kapal dan nakhodanya memilih untuk berputih mata yakni menyerahkan segalanya kepada lanun tersebut.
Apabila sampai pertanyaan itu kepada Mat Guai maka dia pun menjawab , seandainya kapal ini kapalku maka sanggup aku berputih tulang. Mendengar jawapan Mat Guai itu ,kepala Lanun itu pun tahu siapa Mat Guai lalu lanun-lanun mula menyerang . Setelah beberapa lama pertarungan dengan sedikit kelebihan yang dikurniakan Allah kepada Mat Guai terbunuhlah Panglima Hujan Panas. Mat Guai telah memotong bibir atas mayat Panglima Hujan Panas yang bermisaikan dawai untuk diserahkan keistana Kedah sebagai bukti.
Sumber : Sini
No comments:
Post a Comment