Tuesday, May 8, 2018

Pendekar Alam


Cerita ini adalah satu cerita rakyat yang hampir dilupus dek terlalu banyak cerita yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ini.Diceritakan oleh orang dahulu bahawa di suatu kampung ada satu keluarga yang terdiri dari dua beradik lelaki tinggal bersama kedua ibubapanya. Setelah kedua beradik menjelang remaja maka mulalah mereka belajar silat dari sang bapa. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan begitulah seterusnya sehingga keduanya menjelang dewasa.Pantas dan cekaplah kedua-dua berpencak hasil asuhan bapanya.

Sampai masanya sang abang telah bermohon restu dari bapa dan ibu untuk berkelana mencari guru yang lebih hebat buat memenuhi ilmu kedada.Mendengar sang bapa merestui maka sang adik pun ingin juga turut serta berkelana sambil berguru menumpang cita-cita sang abang yang ingin menjadi pendekar terhebat. Tapi si ibu keberatan yang amat untuk melepaskan putera mudanya tambah lagi tentu kesunyian apabila kedua-dua tiada.

Maka kecewalah sang adik melihat sang abang melangkah pergi lalu menanam tekat untuk berlatih sendirian untuk mengubat kekecewaan hati. Setelah ditinggal sang abang segala kerja ditanggung oleh sang adik termasuklah menjaga kerbau. Sambil menjaga kerbau milik keluarganya dia pun terlintas dikepala untuk berlatih kekuatan lalu mulalah diangkatnya seekor anak kerbau jantan setiap hari. Menambahkan lagi latihannya dia mengambil buluh yang berlubang lalu disarungkan ke ekor ibu kerbau. Kemana bergerak ekor kerbau dia melompat mengikut arahnya dan menyarungkan ekor tersebut dengan buluh.Sang adik juga ada menanam anak labu di tepi halaman rumah dan disitu dia melompat setiap pagi melepasi pokok labu itu menjalar.

Begitulah amalan yang dilakukan oleh sang adik setiap hari sehingga musim beredar berganti tahun. Tiba harinya kembalilah sang abang dari perantauan dengan girangnya untuk bertemu keluarga tambahan pula sudah menjadi pendekar terbilang. Setelah melepaskan rindu maka sang adik pun mula bertanya tentang perguruan sang abang diperantauan. Maka berceritalah sang abang akan kehebatan ilmu yang dituntutnya sehingga menjadi pendekar terbilang.

Setelah sang abang bercerita, sang adik pun memohon untuk beradu kekuatan dengan sang abang. Diajak sang abang beradu melompat pokok labu yang menjalar sejauh dua belas depa dipinggir halaman rumah. Terkejut sang abang melihat kekuatan sang adik melompat. Kemudian diajak pula si adik supaya sang abang mengangkat kerbau jantan yang dijaganya.Maka sekali lagi sang abang gagal dan terkejut melihat adiknya menatang kerbau tersebut.

Akhir sekali sang abang pula yang mencabar si adik untuk bertarung bertikam keris. Sang adik pun menyambut cabaran untuk berpencak keris,dengan menggunakan sarung keris dia menyarungkan mata keris si abang setiap kali menikam. Setiap tikaman si abang disarungkan sehingga hairanlah dia melihat kepantasan adiknya. Demikianlah hasil latihan yang dijalani oleh sang adik sehingga kemudian harinya termashorlah sang adik dengan gelaran Pendekar Alam kerana dia memperolehi kepandaian hasil berguru dengan alam iaitu pokok labu , buluh dan kerbau.

PENDEKAR MAT GUAI


Adalah telah diceritakan oleh orang-orang tua yang telah tiada suatu  kisah keperwiraan seorang pendekar dari bumi Pahang yang berlaku pada semasa pemerintahan sultan Abdul Jalil. Telah sampai perintah dari Sultan yang bersemayam di Pekan itu ke Lipis meminta dihantar seorang pendekar ke negeri Kedah atas tawaran dari Sultannya untuk menghapuskan sekumpulan lanun yang bermaharajalela dilaut dikepalai oleh seorang bergelar Panglima Hujan Panas. Diceritakan apabila tampil Panglima ini menyerang maka ketika itu juga turun hujan renyai walau hari panas terik sebagai alamatnya.

Setelah bermesyuarat Orang-Orang Besar di Lipis  demi memenuhi perintah Yang Mulia Sultan maka dipilihlah seorang pendekar untuk diutuskan ke Kedah bagi melaksanakan misi tersebut dan pendekar itu dipanggil Mat Guai.

Setelah selesai segala persiapan maka berjalanlah Mat Guai sehingga ke Kelang dan dari Kelang dia menumpang pula sebuah kapal dagang yang kebetulan ingin berdagang ke Kedah. Maka berlayarlah beliau menuju ke utara bersama kapal tersebut. Dari perbualan dengan anak-anak kapal dapatlah Mat Guai mengagak bahawa Kepala Lanun yang dicari memang selalu melanun di laut Kedah.

Setelah berhari-hari berlayar ketika hampir ke laut Kedah maka datanglah alamat kehadiran Panglima Hujan Panas. Kelihatan sebuah bajak yang dipenuhi sekumpulan lanun berkayuh menggunakan lembing mata lebar merapati kapal lalu berlompatan sekelian lanun merapati anak-anak kapal dan ketuanya serta memberikan dua pilihan , putih tulang atau putih mata. Maka sekelian anak kapal dan nakhodanya memilih untuk berputih mata yakni menyerahkan segalanya kepada lanun tersebut.

Apabila sampai pertanyaan itu kepada Mat Guai maka dia pun menjawab , seandainya kapal ini kapalku maka sanggup aku berputih tulang. Mendengar jawapan Mat Guai itu ,kepala Lanun itu pun tahu siapa Mat Guai lalu lanun-lanun mula menyerang . Setelah beberapa lama pertarungan dengan sedikit kelebihan yang dikurniakan Allah kepada Mat Guai terbunuhlah Panglima Hujan Panas. Mat Guai telah memotong bibir atas mayat Panglima Hujan Panas yang bermisaikan dawai untuk diserahkan keistana Kedah sebagai bukti.

Sumber : Sini

Guru Othman Md Arof


KUALA LUMPUR: Bapa penyanyi rock negara, Awie, meninggal dunia selepas sebulan terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana demam panas.

Othman Md Arof, 78, yang juga guru silat meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, di sini, jam 12.10 tengah malam kelmarin selepas arwah dibawa pulang dari PPUKM, petang kelmarin.

Menurut Awie, bapanya dimasukkan ke PPUKM sejak sebulan lalu selepas mengadu badan panas sebelum disahkan doktor menghidap demam panas.

“Sebulan mendapatkan rawatan di PPUKM, semalam (kelmarin) bapa meminta kami adik-beradik membawanya pulang ke rumah kerana terlalu rindukan anjung tempatnya berehat,” katanya.

Kata Awie, sebelum bapanya meninggal dunia, arwah sempat meninggalkan pesanan kepada sepupunya untuk disampaikan kepadanya supaya jangan pergi jauh.

“Saya tidak menyangka itu kata-kata terakhir arwah sebelum dia pergi, saya menganggap ini kehilangan yang saya rindui,” katanya. Katanya, bapanya bukan saja mendidik anak termasuk dirinya menjadi insan berguna malah mengajarnya ilmu mempertahankan diri.

Sumber : sini
Ada sesiapa tahu bapa Awie guru silat apa? sila emel kami di muakmal_79@yahoo.co.uk

5 guru silat maut


Van dinaiki masuk sawah, rempuh pokok

ALOR SETAR: Lima guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat persembahan silat di majlis kenduri kahwin di Sungai Buloh, Selangor terbunuh, manakala empat lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbabas ke dalam sawah sebelum merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris di Pendang, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, van yang dipandu Rashidi Ahmad, 24, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok, menyebabkan tiga penumpang termasuk bapanya, Ahmad Ismail, 60, dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra di sini, mati di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa, Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, masing-masing meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, jam 8.15 pagi dan 11.15 pagi, semalam, manakala Che Ishak Hussin, 54, yang parah di kepala dan badan dilaporkan kritikal, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB.

Tiga lagi mangsa termasuk Rashidi, Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dan Ariffin Mahazun, 56, yang cedera ringan hanya dirawat sebagai pesakit luar. 

Difahamkan, van membawa sembilan penumpang yang semuanya guru dan ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah itu, bertolak secara berkonvoi dari Sungai Buloh bersama sebuah kenderaan lain untuk pulang ke Kedah, jam 8.30 malam, kelmarin. 

Rashidi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rela, Langgar di sini, berkata, kejadian berlaku ketika sembilan penumpang yang berada dalam van itu sedang nyenyak tidur. 

Dia mendakwa ketika kejadian tidak mengantuk kerana sudah mendapatkan rehat secukupnya, termasuk berhenti di lima Hentian Rehat dan Rawat di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang perjalanan pulang berkenaan. 

“Saya ternampak seekor lembu besar tiba-tiba melintas di hadapan dan terpaksa mengelak menyebabkan van berkenaan terbabas dan masuk ke dalam sawah sebelum merempuh pokok. 

“Akibat rempuhan itu, saya tercampak keluar daripada van terbabit dan hanya sedar ketika berada dalam ambulans. Ketika itu, saya juga tidak mengetahui nasib penumpang lain termasuk bapa,” katanya. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati pemandu van dipercayai mengantuk, tetapi punca kejadian masih disiasat. 

“Mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing petang ini (semalam) dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

Berita Harian
22 Mac 2011

Elak 'lembu besar'



ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.

Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.
 

ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian.

Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.
 

Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
 

REMUK...keadaan van selepas terbabit kemalangan.

Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.
 

“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam.
 

PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.

Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang.
 

Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.
 

“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.
 

“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.
 

Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.
 

Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.
 

“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.
 

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.
 

myMetro
 
22 Mac 2011


Suami tersepit

ALOR SETAR: “Saya nampak suami tersepit, manakala anak saya tercampak di tepi jalan,” kata Rokiah Abdul Hamid, 53, isteri kepada Ahmad Ismail, 60, seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, dekat sini, awal pagi semalam.

Rokiah berkata, dia menaiki kereta berasingan, manakala suami dan anaknya, Rashidi, 24, menaiki van berkenaan ketika mereka dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor ke Kedah.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka van dinaiki suami dan anaknya bersama lapan pesilat lain sudah sampai di rumah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik melalui lokasi kejadian, penumpang dalam kereta dinaikinya memberitahu ternampak ada orang melambai tangan meminta tolong menyebabkan mereka berpatah balik.

“Apabila sampai di situ, saya nampak suami tersepit, manakala Rashidi pula tercampak di tepi jalan dan penumpang lain tidak sedarkan diri.

“Sebaik mendekati suami, saya dapati dia sudah tidak bernyawa, begitu juga dua penumpang lain,” katanya.

Rokiah berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan suami dalam masa yang singkat kerana suaminya seorang yang baik dan dikenali ramai kerana menjadi pengerusi persatuan silat itu sejak beberapa tahun lalu.

Jenazah Ahmad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Petani, dekat sini, petang semalam, manakala empat mangsa yang maut dituntut keluarga masing-masing selepas dibedah siasat di Jabatan Forensik HSB, semalam.

myMetro
22 Mac 2011

Pemandu van dipercayai mengantuk

ALOR SETAR: Siasatan polis mendapati pemandu van Ford Econovan yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, awal pagi semalam, dipercayai mengantuk.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi, ketika dihubungi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, tetapi tidak menolak kemungkinan pemandu terbabit mengantuk.

“Kita masih menyiasat punca kejadian itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, van berkenaan dipercayai dari arah Pendang menghala ke Langgar, di sini, terbabas dan melanggar sebatang pokok menyebabkan lima penumpang di dalam van itu terbunuh, manakala seorang parah dan bakinya cedera ringan.

Pubadi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Unit Kecemasan HSB, Dr Fatahul Laham Mohamad, berkata mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil.

myMetro
22 Mac 2011

‘Nampak kawan meraung’

ALOR SETAR: “Saya cuma dengar bunyi dentuman kuat dan nampak kawan-kawan yang lain meraung kesakitan. Selepas itu saya tidak sedar dan apabila tersedar saya sudah berada di hospital,” kata Mohd Idris Mohd Senapi, 20, antara yang terselamat dalam kemalangan maut mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Deris, Pendang, awal pagi semalam.

Mohd Idris yang juga pemain gendang Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah berkata, ketika kejadian, dia tidak sedar kerana tertidur.

“Kami bertolak dari Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 6 petang selepas selesai membuat persembahan pada majlis perkahwinan di rumah saudara seorang ahli persatuan ini. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kawasan rehat dan rawat Tapah, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) untuk berhenti makan.

“Selepas setengah jam berhenti rehat, kami meneruskan perjalanan balik ke Alor Setar. Saya terus tidur selepas itu kerana terlalu letih sehingga tidak menyedari kejadian berlaku,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima maut, seorang parah dan tiga lagi cedera ringan apabila van Ford Econavan dinaiki sembilan orang itu terbabas dan merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, semalam.

Mohd Idris berkata, dia cedera di muka dan patah kaki kanan kerana tersepit di belakang tempat duduk pemandu.

myMetro
22 Mac 2011

Kehilangan besar

ALOR SETAR: “Ia satu kehilangan besar buat persatuan ini,” kata Presiden Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, Haris Fadilah, 55, ketika mengulas insiden yang mengorbankan lima guru silat selepas van yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, pagi semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedih dengan kejadian yang menimpa dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar dugaan Allah.

“Saya mewakili persatuan ini merasakan satu kehilangan besar buat persatuan ini kerana kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah guru silat.

“Mereka tokoh besar dan pengasas banyak menyumbang pada seni silat di negeri Kedah. Ada antara mereka lebih 40 tahun terbabit dalam kegiatan ini. Segala jasa dan pengorbanan mereka kami kenang sampai bila-bila,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

myMetro
22 Mac 2011

Teringin ke Kuala Lumpur

POKOK SENA: “Arwah teringin sangat nak pergi Kuala Lumpur kerana sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah ke sana. Mungkin ini adalah petanda arwah akan pergi meninggalkan kami semua,” kata Rugayah, 47, anak kepada Eshak Awang Kechik, 78, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam.

Beliau berkata, sehari sebelum mereka bertolak iaitu Khamis lalu, arwah bersungguh-sungguh ke ibu kota.

“Dia ada beritahu pada ibu tiri saya, Siah Shariff, 57, bahawa dia hendak sangat ke Kuala Lumpur. Kami adik beradik tak sangka ia permintaan terakhir arwah sebelum meninggalkan kami.

“Sebelum ini, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, malah dia kelihatan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, di sini, semalam.

Allahyarham Eshak antara dua penumpang van yang kritikal dan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSB apabila terbabit dalam kemalangan itu.

Selepas hampir enam jam bertarung nyawa di ICU, Eshak akhirnya menghembuskan nafas pada jam 11.30 pagi di HSB.

myMetro
22 Mac 2011

Tragedi ngeri pendekar utara

ANGGOTA polis melihat keadaan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, Alor Setar hingga mengorbankan lima guru silat semalam.

ALOR SETAR - Jumlah penonton yang luar biasa ketika menyaksikan persembahan lima guru silat di sebuah majlis perkahwinan di Sungai Buloh, Selangor kelmarin rupanya menjadi petanda kesemua pendekar itu akan dijemput ajal dalam kemalangan jalan raya semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku apabila sebuah van yang membawa sembilan penumpang termasuk guru silat berkenaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini. Empat penumpang lain cedera parah.

Difahamkan, kesemua mangsa daripada Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Kedah. Mereka dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.

Mereka yang maut ialah Ahmad Ismail, 65, (guru silat Melayu Pattani), dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, (guru silat Gayung Pattani) dari Kampung Paya, Kodiang, Jitra dan Jumaat @ Saad Mat Akil, 62, (guru silat Tari Segelek) dari Kampung Manggol, Malau, Jitra.

Kosmo
22 Mac 2011

Seorang lagi mangsa kemalangan Pendang meninggal dunia



ALOR SETAR - Seorang lagi mangsa kemalangan di Pendang awal pagi, semalam, meninggal dunia hari ini, setelah hampir 24 jam di rawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, menjadikan enam mangsa maut akibat kemalangan itu.

Che Ishak Hussin, 55, dari Kampung Tualang, Pokok Sena meninggal dunia pada pukul 2 pagi di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan kerana mengalami pendarahan dalam otak dan patah kaki kanan.

"Semasa ayah meninggal awal pagi tadi, kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi,” kata anak sulung mangsa, Mohammad Zahir Che Ishak, 36, ketika ditemui di hospital itu hari ini.

Semalam, lima guru silat maut apabila van yang dinaiki sembilan orang terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang.

Kemalangan pada pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Buluh, Selangor selepas mengadakan persembahan silat pada majlis perkahwinan di sana. - Bernama

22 Mac 2011


‘Ayah tidak tunjuk kelakuan pelik, cuma sakit dada’

ALOR SETAR: “Arwah ayah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma sehari sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh, Selangor, dia ada mengadu sakit dada,” kata Mohammad Zahir, 36, anak sulung kepada Che Ishak Hussin, 55, yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada jam 2 pagi semalam.

Beliau berkata, arwah sudah lama membabitkan diri dalam persatuan Silat Rela Bakti Alor Rela, Langgar dan dia adalah pemain serunai dan gendang.

“Arwah seorang peramah dan dia suka bersembang dengan kawan dalam persatuan ini, terutama bagi memantapkan seni persembahan silat di Kedah.

“Saya sangat sedih dengan kehilangannya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semasa ayah meninggal awal pagi tadi (semalam), kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi.

“Arwah meninggal disebabkan masalah pendarahan dalam otak kerana arwah memang ada penyakit jantung. Sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh pun, dia ada mengadu sakit dada,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HSB, semalam.

Che Ishak yang berasal dari Kampung Tualang, Pokok Sena, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 pagi selepas bertarung nyawa hampir 24 jam.

myMetro
23 Mac 2011

Saya hilang 6 kawan baik

ALOR SETAR: “Saya kehilangan enam kawan baik sekali gus,” kata Johari Arifin, 54, yang masih bersedih dengan berita kematian lima guru silat termasuk seorang pemain serunai dan gendang dari Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, semalam.

Beliau berkata, dia terkejut kerana semua mangsa meninggal dunia kawan baiknya yang terbabit dalam aktiviti pertunjukan silat di negeri itu.

“Saya memang mengenali semua mangsa kerana sama-sama mengadakan persembahan di merata tempat,” katanya.

myMetro
23 Mac 2011

Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim




Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak merupakan pengasas Silat Gayong Malaysia. Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al–Attas. Hasil perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon
Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School di Ipoh sehingga tahun 1936.
  
Pendidikan silat
Beliau menuntut ilmu persilatan dengan nendanya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas, merupakan hulubalang negeri Pahang yang terkenal ketika itu kerana memiliki ramai pahlawan. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas, hidup sezaman dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam berbeza dengan rakan – rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja seperti di Changkat Jering dan Batu Kurau.

Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering berulang – alik ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.
Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama kandanya, Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya yang bernama Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah sama – sama berpindah dan menetap dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di Kuala Nerang, beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.

Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan tersebut, beliau tersesat sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah berkenalan dengan Pak Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual burung yang ditemui di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman, mereka telah membawa beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Ketika tiba di rumah Pak Choh di Mee Nam, beliau mandi di sungai di kawasan tersebut. Beliau mendakwa bahawa suatu lembaga yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam mimpi beliau. Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada perubahan pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.

Setibanya di Taiping, beliau telah menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Meor Abdul Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Meor Abdul Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘ Rahman Sendo ’ dan dijadikan anak angkat baginda.[perlu rujukan] Beliau menetap bersama – sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.

Berhijrah ke Singapura

Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah di Naval Base sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.

Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak sepupunya, Paridah bte Yusope.

Semasa pendudukan Jepun

Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi laut ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah membuka gelanggang Seni Silat Gayong dengan melatih 7 orang pemuda terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman bekerja sebagai seorang kempetai. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura. Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.

Meor Abdul Rahman juga telah menyebarkan Silat Seni Gayong untuk menangani ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain – lain pulau di Indonesia. Tidak lama selepas itu, kerajaan British telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.

Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti – British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang – pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.

Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan.

Dalam majlis Perdana Gayong pertama yang telah dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Silat Seni Gayong telah dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah, Sultan Kedah selaku Penaung Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada seluruh anak – anak muda negeri Kedah.

Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10 tahun kemerdekaan tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin negara terhadap perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu, dalam tahun 1969, YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah menyertai Silat Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air Kuning, Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah Silat Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Syed Nasir Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai kerabat Di – Raja, pembesar serta kenamaan negara dan negeri.

Berpindah ke Perak

Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak. Pada tahun 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi saudaranya di sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal. Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar fikiran dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee.

Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al – Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kaslan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al – Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah tahun 1982.

Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak bin Dato’ Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.

Tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman telah menyahut cabaran pengasas/sifu Jeet Kune Do iaitu Bruce Lee untuk bertarung. Dato' Meor Abdul Rahman tewas lalu melakukan suatu pukulan kuat yang diberi nama “Kipas Senandung” dari Dato’ Meor Abdul Rahman telah menyebabkan Bruce Lee melayang dan rebah. Bruce Lee meninggal beberapa hari selepas pertarungan tersebut.Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid – murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi diseru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.

Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Fadzilah (waris tunggal) di Hospital Pakar, Ipoh, Perak.

Bertemu Mat Kilau

Semasa Pahlawan Mat Kilau mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Datuk Meor dan angakatanya telah "turun" ke Pulau Tawar untuk bertemu dengan pahlawan tersebut. Menurut ceritanya, Datuk Meor bertanyakan samada gayung yang dibawanya adalah sealiran dengan ilmu persilatan Mat Kilau. Mendengarkan hal tersebut, Mat Kilau mengakui ia adalah sama dengan ilmu yang dimilikinya

Long Mamat


Long Mamat memperkenalkan 'Pukulan Sendeng' setelah mempelajarinya dari bapa saudaranya di atas kapal...

Seorang Pendekar keturunan Bugis yang berasal dari Pontian, Johor. Beliaulah yang bertanggungjawab mengembangkan ilmu Pukulan Sendeng di Muar pada penghujung kurun ke-19 (1885-1910 an) Long Mamat pernah merantau ke Brunei dan Kalimantan dengan menggunakan nama atau gelaran yang berlainan pada tempat-tempat yang di singgahinya. Dari mana asal Pukulan Sendeng yang di bawanya tidaklah jelas tetapi terdapat versi cerita yang berbeza. Antara ceritanya adalah seperti berikut:

  1. Long Mamat mempelajari ilmu Pukulan Sendeng dari empat orang bapa saudaranya di atas kapal. Kisah ini telah disampaikan oleh cicit Long Mamat kepada almarhum Hj Ismail.
  2. Beliau mempelajari ilmu Pukulan Sendeng dari seorang bapa saudaranya di Parit Raja, Muar setelah ditewaskan sewaktu menguji bapa saudaranya itu. Pada ketika itu, Long Mamat telah tamat berguru dengan 39 orang guru silat. Kisah ini di ceritakan oleh seorang tua di Parit Bakar kepada almarhum Hj Ismail.

Pada awal abad ke-19 (1885-1910), Long Mamat telah dijemput oleh penghulu mukim Serom ketika itu ialah Penghulu Hj Abdullah (ninda kepada YB Dato’ Abd Ghani Osman – Menteri Besar Johor sekarang) untuk mengajar ilmu Pukulan Sendeng di Serom. Seramai 5 orang pendekar telah terpilih setelah diadakan satu pertandingan di Serom. Kelima-lima orang itu ialah Taman Dagang, Pak Unggal Khalil (adik Taman Dagang), Hj Mohd Arif Shamsu, Pak Habib dan Naib Nalang.

Selain di Serom, Long Mamat juga mempunyai ramai murid terutama di kawasan Parit Bakar hingga ke Parit Raja, Muar. Salah seorang anak murid beliau yang dapat di kesan ialah Haji Baba bin Makruf (1901-1984). Anak cucu beliau di Pontian, Johor pula mengembangkan silat Kuntau Sendeng yang di terajui oleh cucunya iaitu Penghulu Zakaria Kasim.

Haji Hassan Haji Mahat (Hj Hassan Pendekar)


Haji Hassan Pendekar adalah gelarannya atau nama sebenarnya haji Hassan Bin Haji Mahat (dalam bulatan)
Sumber maklumat : Blog Seni Silat Sendeng Malaysia


Haji Hassan Haji Mahat (Hj Hassan Pendekar)
Hj Hassan Hj Mahat merupakan ninda kepada almarhum Hj Hamid Hj Hamzah iaitu bapa kepada Hj Hamzah. Di beri gelaran ’Pendekar’ oleh Almarhum Sultan Ibrahim kerana kemashyuran dan ketokohannya dalam dunia persilatan. Ketika remaja Hj. Hassan Pendekar dan ayahnya berniaga ternakan ayam dan itik dari Kesang ke Singapura dan Kelang. Beliau berketurunan Bugis telah berpindah ke Sungai Mati, Muar dari Kesang setelah Sultan Ali menyerahkan Kesang kepada Almarhum Sultan Abu Bakar.

Hj Hassan Pendekar memiliki tubuh yang kecil mula mendalami ilmu persilatan dari ayahnya iaitu Hj Mahat pada usia remaja. Kemudian dia berguru pula dengan Hj Dollah Telok Mas yang terkenal dengan kehandalannya di Telok Mas, Melaka. Hj Dollah juga mashyur dengan gelaran ’Hj Dollah Polong’ kerana kepantasan pukulannya. Silat yang sering di pelopori oleh Hj Dollah ialah Kuntau Telok Mas. Pada zaman dahulu nama silat selalunya di ambil dari nama guru atau tempat asal guru yang membawanya. Di bawah bimbingan Hj Dollah, Hj Hassan turut mempelajari permainan senjata seperti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, pedang-perisai dan tembong.

Beliau kemudiannya telah mengajar ilmu persilatan ini di Sungai Mati, Muar. Sepanjang hayatnya, Hj Hassan Pendekar sering di uji dan menerima cabaran dari pendekar-pendekar melayu yang lain termasuk jga ahli kuntau Cina dan India. Lantai serambi rumahnya banyak di penuhi kesan darah kering pendekar kecundang mencubanya. Beliau juga pernah di cabar oleh penjual ubat berbangsa Cina yang juga seorang guru Kuntau yang tahan digilis oleh lori beberapa minggu sebelum meninggal. Malah, sebelum itu, pernah almarhum Hj Ismail dan almarhum Aziz Bai sengaja menguji dan menyerang Hj Hassan Pendekar dalam gelap tetapi serangan itu gagal menewaskan Hj Hassan dan mereka berdua ditewaskannya.

Sebelum meninggal dunia, Hj Hassan Pendekar telah mengijazahkan segala perkakas persilatannya termasuk gendang, senjata dan buku catatan yang mengandungi petua dan amalan kepada almarhum Hj Hamid dan Hj Ismail. Hj Hassan Pendekar telah meninggal dunia pada tahun 1958 dalam usia sekitar 120 tahun. Anak beliau iaitu Hj Hamzah juga seorang pendekar terlebih dahulu meninggal pada tahun 1942. Hj Hamzah tidak mengajar silat kerana menghormati ayahnya Hj Hassan sebagai guru.

Antara keistimewaan Hj Hasan Pendekar ialah bisa pukulan dan kepantasan kakinya. Sewaktu di cabar, Hj Hassan sering menggunakan 3 teknik untuk menumbangkan lawan-lawan iaitu buang dalam, buang luar dan petik. Beliau juga turut mahir dan mengajar titik sasaran lemah pada badan (vital point). Sebagai seorang yang terkenal dengan ilmu pendekar dan masak asam garam hidup, tabiat biasa beliau bila membuat pertunjukkan atau bertanding samada dalam atau di luar daerah ialah naik ke pentas memperkenalkan diri dan mempelawa sesiapa sahaja yang tidak puashati dan berhajat untuk mengujinya. Jika tiada yang berani, beliau menyuruh orang ramai mencuba cucu-ciciknya yang berusia 10-12 tahun.

Menurut almarhum Hj Ismail, perwatakan Hj Hassan Pendekar sebenarnya seorang periang dan ceria serta tidak pandai berbohong walaupun akalnya panjang. Menurutnya lagi ramai juga pencabar yang terkena tipu helahnya. Antara pesanan beliau untuk anak cucunya ialah:

  1. Raja jangan di lawan nanti kita di halaunya tetapi jangan di rapik (rapat) nanti kita di kuda.
  2. Masak-masakkan pecah empat.
  3. Tak semua kayu boleh di buat batang tanjak.

Muddy depression

Oktober Bagun tidur tidur rest jap kimio terapi Last monthly emergency frustsation leave peace fully carefully duty house keeping